Saturday, September 20, 2008

Bicara Hati

1) Mensucikan hati

Hendaklah anda tumpukan perhatian anda kepada hati dan batin anda. 
Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya Allah tiada melihat kepada rupa kamu dan amalan kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan niat kamu."

Oleh itu, hendaklah anda membenarkan ucapan anda dengan amalan, dan membenarkan amalan anda dengan niat dengan ikhlas, dan membenarkan niat dan ikhlas pula dengan membersihkan batin dan meluruskan hati, kerana hati itu dari asal dan puncasegala perkara.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Ketahuilah, bahawa dalam tubuh badan itu ada sepotong daging, kiranya ia elok, maka eloklah seluruh tubuh badan itu. Dan kiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh badan pula. Ia itu adalah hati."

Lantaran itu wajib anda mengambil berat terhadap hati itu, serta tumpukanlah segala perhatian untuk memperbaiki dan meluruskannya. Sebab hati itu lekas sekali berbolak-balik dan selalu kacau-bilau. Cuba lihat sabda Rasulullah berikut:
"Sesungguhnya hati itu lebih cepat bolak-baliknya dari makanan yang sedang mendidih di dalam periuk."

Rasulullah s.a.w sering berdoa: "Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu."
Sabadanya lagi: "Sesungguhnya hati itu terletak di antara dua jari dari jari-jari Tuhan. Jika Dia suka diluruskannya, dan jika Dia suka dibengkokkannya."
Allah berfirman menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s.: "Dan janganlah Engkau menghinakan aku pada hari kebangkitan. Iaitu hari yang tiada berguna hartabenda dan anak-anak. Melainkan orang yang mendatangi Allah dengan hati yang bersih."

Hendaklah anda berhati-hati dengan sungguh-sungguh, mudah-mudahan Allah merahmati anda, agar anda menemui Allah Ta'ala kelak dalam keadaan hati yang bersih dari syirik dan nifaq, suci dari bid'ah dan akhlak yang terkeji, seperti menyombong diri dan riya', seperti hasad dan tipudaya terhadap kaum Muslimin, dan seumpamanya. Mintalah pertolongan dari Allah Ta'ala serta bersabar, berusaha dan mengambil berat terhadap perkara-perkara ini.
Juga harap jangan lupa ucapkan seberapa banyak doa ini: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau tunjuki kami (jalan yang benar), dan berilah kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau amat suka memberi." (ali-Imran: 8)
Demikianlah Allah mensifatkan orang-orang yang teguh dan mendalam ilmunya dari hamba-hambaNya yang Mukminin.

2) Jangan biarkan hatimu keras dan lalai

Waspadalah anda, jangan bersifat keras hati dan bersikap kasar, sehingga apabila diberi nasihat tidak akan memberi kesan apapun. Hati tidak akan merasa hiba lagi, bila disebutkan maut, dan tidak gentar mendengar janji-janji balasan dari Allah dan ancamanNya mengenai hal-ehwal akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Yang amat jauh dari Allah Ta'ala ialah hati yang keras."
Sabdanya lagi: "Empat perkara menjadi tanda kejahatan, iaitu: Hati yang keras, mata yang beku, sentiasa berkira-kira dan panjang harapan."
Awasilah diri anda empat sifat yang merbahaya itu!
Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: "Ingatlah bahawa Allah tiada akan menerima doa dari hati yang lalai."

Sifat lalai itu adalah sifat yang lain, tidak sama dengan sifat keras hati. Sifat ini adalah tercela dan mengandungi bahaya yang besar. Hati yang lalai ialah hati yang tidak tahu diuntung dan tidak sedar ketika diingatkan dengan berbagai-bagai petunjuk dari perintah-perintah Allah Ta'ala dan larangan-laranganNya. Ia tidak akan mengendahkan samasekali nasihat-nasihat itu kerana hatinya dibelunggi oleh sifat lalai dan lupa disebabkan terlalu banyak urusan pekerjaan dan permainan dari bermacam-macam keindahan dunia dan peluasan hawa nafsu.

Allah Ta'ala telah berfirman kepada RasulNya a.s: "Ingatlah Tuhan di dalam hatimu dalam rendah hati dan takut, dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang lalai." (Al-A'raf: 205)
Allah berfirman lagi: "Dan janganlah engkau turuti kaum yang Kami (Allah) lalaikan hatinya dari mengingati Kami. Lalu ia tunduk kepada hawa nafsunya, maka menjadilah urusannya itu sesia belaka (tidak berguna)." (al-Kahf:28)

Seseorang itu dikira lalai juga apabila dia membaca Al-Quran atau mendengarnya, akan tetapi merenungkan maknanya atau mendalami maksudnya, tiada menuruti perintah dan larangannya, tiada menuruti nasihat dan teguran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.
Seseorang itu dikira lalai apabila ia tiada mengingati mati dan tiada memandang berat tentang hal-ehwal yang bakal berlaku sesudah mati, samada ia tergolong orang-orang yang berbahagia atau orang-orang yang celaka, ia tidak mahu memikirkan semua itu.
Seseorang itu dikira lalai juga apabila ia tiada selalu mendampingi para alim-ulama yang akan mengingatkannya akan Allah dan agamanya, dan yang akan menyedarkannya akan hari-harinya yang baki dan nikmat-nikmat Allah Ta'ala yang sedang diterimanya, di samping janji-janji dan ancaman-ancamanNya. Sekiranya para alim-ulam itu tiada kedapatan lagi, maka cukuplah buku-buku yang mereka susun itu untuk mengganti mereka.

Walau bagaimanapun dunia ini tidak akan luput dari para alim-ulama. Insya Allah, meskipun kerosakan zaman telah umum di mana-mana. Perkara-perkara yang batil telah banyak tersebar, sedang orang yang mencetukannya merajalela orang-orang yang di peringkat tinggi dan rendah. Mereka itu telah membelakangi Tuhan dan membelakangi perintahNya, serta tiada menegakkan yang hak. Hanya orang-orang terselamat dari bencana ini sedikit sekali bilangannya.

Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w: "Sekumpulan dari umatku akan terus berdiri teguh atas kebenaran, tiada akan membahayakan mereka sesiapa yang menentangnya sehinggalah tiba ketentuan dari Allah Ta'ala."
Ada banyak lagi berita dan cerita yang menceritakan bahawa dunia tidak akan luput dari orang-orang yang mempertahankan kebenaran dan berdiri atas Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya (Hadis) pada bila-bila masa sekalipun. Hanya bilangan orang-orang ini akan berkurangan di akhir zaman. Wallahu a'lam.

Kitab "an-Nashaaih as-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah"
(Nasihat Agama Dan Wasiat Iman) 
oleh
Imam Habib Abdullah Haddad

No comments:

Post a Comment